Sunday, September 18, 2011

“RIM Perlu Jelaskan” – Respon Aizat Amdan Terhadap Isu AIM 18.

Aizat Amdan, mendominasi Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM 18) apabila dicalonkan dalam 6 kategori termasuklah kategori utama, Album Terbaik sempena anugerah yang bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 12 November ini.

Mempertaruhkan album terbaru berjudul “Utusan Aizat”, penyanyi yang pernah merangkul Anugerah Juara Lagu Ke-24 pada tahun 2009 ini turut dicalonkan dalam 5 kategori lain iaitu, Rakaman Album Terbaik (Pereka Keith Yong dan Nick Lee), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (Years From Now), Kulit Album Terbaik (Kasi Gegar Entertaiment Sdn Bhd), Lagu Pop Terbaik (Sungai Lui), Video Muzik Terbaik (Ahmad Farish) menerusi lagu “Susun Silang Kata”.

Ketika di sesi sidang media AIM 18 yang berlangsung di Royale Chulan minggu lepas, beberapa orang wartawan mempersoalkan pendirian pihak penganjur, Recording Industry Association of Malaysia (RIM) mengenai syarat-syarat penyertaan yang kurang jelas. Antara isu utama, seorang artis luar yang menjalani rakaman di Malaysia boleh tercalon, manakala artis Malaysia yang menjalani rakaman di luar Malaysia tidak boleh tercalon. Agak janggal kedengaran, bukan?

Antara artis yang mengalami nasib sedemikian adalah Zee Avi, Yuna & Datuk Siti Nurhaliza.

Berdasarkan isu yang dibentangkan di atas, OHBULAN! sempat menemubual Aizat Amdan ketika majlis Rumah Terbuka di kediaman keluarganya di Ampang, Sabtu. Jelas, penyanyi muda ini mempunyai cita-cita yang besar untuk merubah industri muzik negara.

“Saya pun tak faham sangat dengan AIM 18 ni. Macam pelik apabila artis Malaysia seperti Zee Avi tidak boleh tercalon atas alasan syarikat label bukan syarikat tempatan. Sepatutnya, pihak RIM kena jelaskan kekeliruan sebegini agar pencalonan kelihatan lebih telus. Pada pandangan saya, tak kisah kalau record di luar ke, di Malaysia ke, as long as itu adalah penyanyi Malaysia. Kalau penyanyi itu tidak tercalon pun, at least kita recognise hasil kerja mereka,” ujar Aizat menjelaskan pendiriannya.

Bagaimana pun, Aizat bersyukur apabila usaha ramai pihak termasuk ahli keluarga & rakan yang membantu menjayakan album “Utusan Aizat” membuahkan hasil.

“Pencalonan ini bukan untuk saya. Sebaliknya, ia adalah penghargaan untuk orang yang berada di belakang tabir seperti ahli keluarga, rakan & lain-lain. They deserve the respect!

“Sebenarnya, saya masih terkejut apabila menerima 6 pencalonan dalam kategori berbeza. Perasaan gembira itu sudah tentu ada. Kalau boleh, saya bercita-cita nak merangkul anugerah Rakaman Album Terbaik & Kulit Album Terbaik, insyallah,” tambah Aizat lagi.


Link to full article

No comments:

Post a Comment