Tuesday, October 4, 2011

Seperti Dijangka, Mahkamah Persekutuan Hari Ini Kekalkan Keputusan Mahkamah Rayuan

Keadilandaily

Seperti dijangka, Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengenepikan Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah daripada terus mendengar kes Fitnah II.

Keputusan Mahkamah Persekutuan itu dicapai sebulat suara oleh Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Hakim Datuk James Foong dan Hakim Datuk Abdul Hamid Embong yang mendengar permohonan Ketua Pembangkang itu pagi ini.

Rayuan itu dibuat selepas hakim Mahkamah Rayuan iaitu  Datuk Hassan Lah, Datuk Ahmad Maarof dan Malik Ishak pada 6 Julai lalu menolak permohonan peguam untuk menyingkirkan Zabidin.

Peguam membuat permohonan itu selepas Zabidin bertindak berat sebelah dengan memutuskan saksi utama perbicaraan, Mohd Saiful Bukhari Azlan sebagai saksi berwibawa, sekaligus  membuat keputusan pra-penghakiman dan menghukum Anwar bersalah sebelum mengarahkannya membela diri.

Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan Hakim Mahkamah Rayuan, Malik Ishak membuat kenyataan bersifat menyerang dan menghina Anwar.

Perbuatan itu dilakukan Malik ketika membuat penghakiman bertulis terhadap permohonan peguam bagi mengenepikan Hakim Zabidin daripada mendengar kes Fitnah II.

“Kami bersetuju dan mendapati perenggan 6, 15, 18 dan 75 adalah kenyataan menyerang dan menghina dan ia perlu dipadamkan daripada rekod,” kata Hakim Zulkefli yang membacakan keputusan itu.

Permohonan pertama untuk menyingkirkan Zabidin dibuat pada November lalu apabila Zabidin menolak permohonan peguam untuk mendapatkan borang proforma Hospital Kuala Lumpur, yang diisi pengadu Mohd saiful Bukhari Azlan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 14 Januari lalu menolak rayuan tersebut.

Permohonan kedua dibuat pada 8 Februari lalu apabila Zabidin tidak memberikan amaran kepada akhbar milik Umno, Utusan Malaysia atas dakwaan menghina mahkamah, namun turut ditolak mahkamah.


Link to full article

No comments:

Post a Comment